Kongsi gelap dikesan rekrut warga asing
PULAU PINANG 28 Julai - Kumpulan kongsi gelap di  negara ini kini dikesan membuka keahlian kepada kaum lain dan juga  rakyat asing terutama dari Indonesia dan Myanmar.
Kebanyakan mereka diambil menjadi ahli untuk menjaga gerai-gerai  tanpa lesen yang menjual cakera padat digital (DVD), cakera padat video  (VCD) dan cakera padat (CD) di negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, jika sekitar tahun  1970-an dan 1980-an, keahlian kumpulan kongsi gelap ini eksklusif untuk  orang Cina namun kini ia terbuka untuk menerima ahli daripada latar  belakang berbeza.
"Untuk menjadi ahli kongsi gelap tidak susah seperti dulu yang mana  mereka terpaksa melalui beberapa upacara tertentu," katanya berucap pada  sesi dialog bersama pemimpin anjuran Pusat Khidmat Barisan Nasional  (BN) Batu Uban di sini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Abdul Rahim Saibu;  Koordinator BN Batu Uban, Goh Kheng Sneah; Koordinator BN Pantai  Jerejak, Wong Mun Hoe dan Koordinator BN Bayan Baru, David Yim.
Beliau menjawab soalan salah seorang peserta berhubung laporan akhbar  mengenai seorang remaja 15 tahun yang ditahan polis baru-baru ini  didakwa ketua sebuah kumpulan kongsi gelap.
Bagi kes tersebut, Ayub menjelaskan, siasatan sedang giat dijalankan  dan polis tidak menolak kemungkinan remaja itu dijadikan kambing hitam  oleh rakan lain yang berusia lebih tua daripadanya.
Mengulas lanjut, katanya, polis menyedari tentang aktiviti seumpama  yang berlaku di negeri ini dan kini sedang berusaha membanteras kegiatan  seumpama itu.
Sehubungan itu, beliau berkata, polis kini memberi tumpuan kepada  gerai-gerai yang berniaga tanpa lesen terutama yang menjual DVD, VCD dan  CD cetak rompak.
Menurutnya, mengikut laporan yang diterima, perniagaan seumpama itu  dipercayai mendatangkan sumber pendapatan lumayan kepada sesebuah  kumpulan kongsi gelap untuk meneruskan kegiatan mereka.