GOH KHENG SNEAH (dua dari kiri) merasmikan lif baharu sambil diperhatikan Abdul Rahim (kanan) di Pangsapuri Desa Riang, Batu Uban, George Town semalam.
GEORGE TOWN – Lebih 1,500 penduduk di Pangsapuri Desa Riang, Batu 
Uban di sini menarik nafas lega apabila  lif di pangsapuri itu yang 
rosak sejak April tahun lepas telah diganti dengan lif baharu.
Lif baharu itu diganti selepas Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan 
sebanyak RM600,000 untuk menggantikan dua buah lif di pangsapuri itu 
yang rosak.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Batu Uban, Goh Kheng Sneah 
berkata, sebagai permulaan, sebuah lif  yang rosak itu telah diganti 
dengan lif baharu manakala sebuah lagi akan diganti baharu dalam masa 
terdekat. 
Menurut beliau, peruntukan itu disalurkan berikutan rungutan  
penduduk  yang mendakwa pihak pengurusan rumah pangsa itu gagal 
menyelesaikan masalah tersebut walaupun laporan telah dikemukakan sejak 
beberapa bulan lepas.
“Isu Pangsapuri Desa Riang ini mendapat perhatian  Timbalan Perdana 
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau mengadakan lawatan  ke 
negeri ini tahun lepas melalui peruntukan Kementerian Wilayah 
Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
“Kita harap menerusi peruntukan ini ia akan dapat  meringankan 
masalah yang dihadapi penduduk,” katanya kepada pemberita selepas 
merasmikan lif baharu di pangsapuri itu di sini semalam.
Turut hadir  Ketua UMNO Bayan Baru, Datuk Abdul  Rahim Saibu.
Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui  gembira  dengan 
peruntukan berkenaan dan berharap kerja-kerja menggantikan kedua-dua lif
 itu dapat dilakukan secepat mungkin.
Rubiah Dollah, 55, melahirkan rasa gembira apabila hasrat  penduduk 
untuk mendapatkan kemudahan lif baharu di pangsapuri itu akhirnya 
tercapai.
“Apa yang kami perjuangkan selama ini sudah tercapai malah saya 
terharu kerana Kerajaan Pusat merealisasikan impian kami,” katanya.
Menurut seorang lagi penduduk, Rosinah Saad, 44, dia sangat teruja 
apabila mendengar bahawa pangsapuri yang dihuninya sejak 20 tahun lalu 
itu mendapat perhatian Kerajaan Pusat.