NIBONG TEBAL 22 Sept. - UMNO dan Gerakan Pulau Pinang komited untuk mengakhiri persengketaan berhubung isu kaum Cina yang didakwa sebagai penumpang di negara ini sekaligus mengakibatkan hubungan kedua-dua parti itu terputus Ogos tahun lalu.
Pemimpin UMNO dan Gerakan negeri yang ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Nibong Tebal, di sini hari ini mengakui hubungan kedua- dua parti semakin baik atas semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN).
Menurut mereka, kedua- dua parti tetap mengamalkan dasar berbaik-baik antara satu sama lain dan menumpukan kerjasama untuk mengukuhkan hubungan antara kaum.
Mengulas mengenai perkembangan itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, hubungan kedua-dua parti itu semakin kukuh dengan bekerjasama dalam melaksanakan apa juga tugas.
''Saya fikir tiada lagi masalah di kalangan kami (UMNO dan Gerakan Pulau Pinang). Tiada lagi isu berbangkit," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka tersebut.
Antara yang hadir ke majlis itu Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan; Ketua Wanita parti itu, Ng Siew Lai; Penolong Setiausaha Agung, Goh Kheng Sneah dan Ketua Gerakan Bahagian Nibong Tebal, Dr. Lim Boon Ha.
Hubungan Gerakan-UMNO Pulau Pinang mula tegang apabila bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh membangkitkan kemarahan masyarakat Cina apabila mengatakan kaum itu menumpang di negara ini.
No comments:
Post a Comment